Mati Hidup Semula.. Kuasa Allah SWT


Kekuasaan Allah Taala untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah mati adalah suatu perkara yang wajib seseorang itu beriman dengannya dan ia tidak boleh diragui. Di sini ingin kongsikan tiga kejadian di mana Allah telah menghidupkan kembali makhluk-Nya yang telah mati sebelum hari Kiamat, dan kisah ini telah dirakamkan oleh-Nya dalam Al-Quran.


 1. Seorang umat Nabi Musa ‘alaihissalam dibunuh Firman Allah Taala: “(Ingatlah), ketika kalian membunuh jiwa (seorang manusia) lalu kalian saling tuduh menuduh tentang itu, dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kalian sembunyikan. Lalu Kami berfirman: “Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!” Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati dan memperlihatkan kepada kalian tanda-tanda kekuasaan-Nya agar kalian berfikir.” (Al-Baqarah, 2 : 72-73) Ada seorang umat Nabi Musa ‘alaihissalam yang mati dibunuh dan pembunuhnya tidak diketahui.

Maka terjadilah perselisihan di antara sesama mereka dengan saling tuduh-menuduh. Mereka mengatakan: “Kalianlah yang membunuh orang itu!” Lalu yang lain membalas: “Kalianlah yang sebenarnya membunuh dia!” Akhirnya mereka melaporkan kejadian ini kepada Nabi Musa. Lalu beliau memerintahkan mereka untuk menyembelih seekor lembu betina dengan ciri-ciri khusus. Setelah lembu betina itu disembelih, lalu Allah memerintahkan untuk mengambil salah satu bahagian dari anggota tubuh lembu betina tersebut untuk kemudian dipukulkan kepada orang yang telah mati dibunuh tadi.

 Setelah itu, tiba-tiba orang mati itu hidup kembali. Lalu orang-orang bertanyakan kepada dia siapakah orang yang telah membunuhnya. Dia pun kemudian memberitahu kepada mereka nama orang yang telah membunuhnya.

2. Nabi Uzair dimatikan selama seratus tahun Firman Allah Taala: “Atau (tidakkah kamu tidak memperhatikan kisah) orang yang melalui suatu negeri yang telah roboh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah ia hancur?” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian dihidupkannya kembali. Allah bertanya: “Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?” Dia menjawab: “Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Allah berfirman: “Sebenarnya kamu telah tinggal di sini selama seratus tahun lamanya. Lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah, dan lihatlah kepada keldaimu (yang telah menjadi tulang belulang), Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia, dan lihatlah kepada tulang belulang keldai itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging.”

Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) dia pun berkata: “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah, 2 : 259) Pada zaman dahulu, ada seseorang yang melakukan perjalanan jauh dengan menunggangi keldai. Setelah beberapa lama melakukan perjalanan, sampailah dia di sebuah kota yang tidak berpenghuni lagi dan bangunan-bangunan di sana sudah banyak yang roboh dan rosak.

Dia mengamati kota tersebut dan merasa takjub. Muncul di fikirannya bahawa kota yang penduduknya telah mati dan bangunannya telah hancur dan rosak sedemikian rupa, maka bagaimanakah caranya jika Allah ingin menghidupkan dan mengembalikan kota ini seperti sedia kala. Lalu Allah mematikannya selama seratus tahun dan pelihara jasadnya, sehingga tinggallah keldai dan bekal makanan dan minumannya begitu saja di situ. Setelah beberapa lama kemudian, keldai itu pun turut mati berhampirannya. Seratus tahun berlalu, Allah menghidupkannya kembali dan bertanya kepadanya berapa lama dia tinggal di sini. Orang itu mengatakan bahawa dia berada di sini sekitar setengah hari atau satu hari saja.

Maka Allah berkata bahawa dia telah berada di sini selama seratus tahun. Disuruhnya melihat bekalan makanan dan minuman yang dibawanya, ia masih belum berubah (dipelihara Allah dari rosak). Disuruh pula melihat keldainya, ia telah mati dan tinggal tulang belulang. Lalu Allah menunjukkan padanya bagaimana cara Dia menghidupkan kembali keldai tersebut dengan menyusun dan menyambungnya satu sama lain, kemudian setelah itu tulang itu dibalut dengan daging, maka hiduplah kembali keldai itu seperti biasa.

Setelah orang tersebut melihat tanda kekuasaan Allah, dia pun mengatakan bahawa dia telah meyakini bahwasanya Allah itu Maha berkuasa atas segala sesuatu. Menurut Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ali bin Abi Talib, dia berkata: “Orang tersebut adalah Nabi Uzair”. Pendapat ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim, dari Ibnu Abbas, Al-Hasan, Qatadah, As-Suddi, dan Sulaiman bin Buraidah. Pendapat inilah yang mahsyur. Dan negeri yang dimaksudkan adalah Baitul Maqdis. (Tafsir Ibnu Katsir)

 3. Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ingin melihat Allah menghidupkan makhluk mati Firman Allah Taala: “(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Wahai Rabbku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.”

Allah berfirman: “Belum yakinkah kamu ?” Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: “(Jika demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu.

Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera.” Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah, 2 : 260) Nabi Ibrahim ‘alaihissalam adalah seorang yang sangat yakin akan kekuasaan Allah dalam menghidupkan kembali makhluk yang telah mati.

Akan tetapi muncul di dalam hatinya suatu keinginan untuk dapat menyaksikan hal ini secara langsung dengan mata kepalanya sendiri sehingga keimanannya menjadi semakin kuat dan mantap dan hatinya tenteram. Oleh kerana itu, beliau memohon kepada Allah agar dapat ditunjukkan kepadanya hal tersebut. Allah Taala mengabulkan permintaan Nabi Ibrahim. Maka Allah memerintahkan beliau untuk menangkap hidup-hidup empat ekor burung, kemudian dikumpulkan, dan setelah itu barulah dipotong-potong hingga menjadi bahagian-bahagian yang kecil.

Kemudian setelah itu, beliau diperintahkan untuk meletakkan bahagian-bahagian kecil dari keempat-empat ekor burung tadi secara berasingan di beberapa buah bukit. Setelah selesai melakukan hal tersebut, Allah ‘Azza Wa Jalla memerintahkan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam untuk memanggil keempat burung tersebut. Kemudian tiba-tiba, beliau melihat suatu kejadian yang sangat menakjubkan, iaitu bahagian-bahagian burung tadi kembali bersatu dan menjadi empat ekor burung yang hidup dan sempurna seperti semula dan semuanya berkumpul kembali ke hadapan Nabi Ibrahim.

Most View 》》》

Submit Your Web